Saturday 14 April 2012

Murid-murid Tahun 4 Arif,


Sila baca cerita Singa Dengan Arnab di bawah dan cari LIMA nilai murni atau pengajaran yang kamu dapati daripada cerita ini.


Singa Dengan Arnab

          

          Pada suatu pagi, singa terjaga daripada tidur. Ia berasa sangat lapar. Dari semalam ia tidak makan apa-apa."Hari ini aku mesti mendapatkan makanan, jika tidak aku akan mati kelaparan," fikir singa.Singa pun keluar mencari makanan. Ia ingin memburu haiwan. 

          Setelah penat meredah hutan dan belukar, tiada seekor haiwan pun ditemuinya. Singa menuju pula ke arah sebatang sungai. Ia berhenti seketika di sungai itu untuk minum air.Selepas itu, singa duduk di tepi sungai untuk menghilangkan penat. Tiba-tiba ia ternampak seekor arnab keluar dari lubangnya. Singa menghampiri arnab itu. Kedatangannya tidak disedari oleh arnab. Singa terus menangkap arnab."Tolong! Tolong! Jangan bunuh saya! jerit arnab."Kamu akan menjadi hidangan saya hari ini," kata singa sambil tertawa.

          Pada ketika itu, seekor rusa sedang melalui kawasan itu. Arnab dan singa ternampak rusa itu. Arnab mendapat satu akal untuk melepaskan diri."Wahai tuan, adakah tuan akan kenyang jika tuan makan saya kerana badan saya terlalu kecil. Cuba tuan tengok rusa itu. Badannya lebih besar. Jika tuan tangkap rusa itu, tentu tuan dapat makan sepuas-puasnya. Lagi pun rusa itu agak gemuk dan dagingnya sedap berbanding daging saya," kata arnab.Singa terdiam mendengar kata-kata arnab."Tentulah daging rusa lebih sedap daripada daging arnab." fikir singa.Singa pun melepaskan arnab. Ia terus mengejar rusa. 

           Apabila ternampak singa, rusa terus melarikan diri. Ia lari dan bersembunyi di dalam hutan. Singa terus mengejar rusa itu dengan pantas. Lama-kelamaan singa berasa sangat letih. Perutnya juga sakit kerana terlalu lapar. Ia berasa kecewa kerana tidak dapat menangkap rusa itu. Ia juga menyesal kerana melepaskan arnab. Disebabkan sikapnya yang tamak, singa tidak berjaya memperoleh sebarang makanan.

Moral: Orang tamak selalu rugi

No comments:

Post a Comment